CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 1 August 2011

Cinta…



Ya Aziz..
Jika Cinta Adalah Ketertawanan
Tawanlah Aku Dengan Cinta Kepada-Mu
Agar tidak Ada Lagi Yang Dapat Menawanku Selain Engkau
Ya Rahim..
Jika Cinta Adalah Pengorbanan
Tumbuhkan Niat Dari Semua Pengorbananku
Semata-mata Tulus Untuk-Mu
Agar Aku Ikhlas Menerima Apapun Keputusan-Mu

Ya Robbi..
Jika Rindu Adalah Rasa Sakit Yang Tidak Menemukan Puncanya
Penuhilah Rasa Sakitku Dengan Rindu Kepada-Mu
Dan Jadikan Kematianku Sebagai punca Pertemuanku Dengan-Mu

Ya Robbi..
Jika Sayang Adalah Sesuatu Yang Mempesona
Ikatlah Aku Dengan Pesona-Mu
Agar Damai Sentiasa Ku rasakan
Saat Terucap Syukurku Atas Nikmat Dari-Mu

Ya Allah..
Jika Kasih Adalah KebahagiaanYang Tiada Bertepi
Tumbuhkan Kebahagiaan Dalam Hidupku
Di saat Ku persembahkan Sesuatu Untuk-Mu

Ya Allah..
Hatiku Hanya Cukup Untuk Satu Cinta
Jika Aku Tak Dapat Mengisinya Dengan Cinta Kepada-Mu
Ke manakah Wajahku Hendak Ku sembunyikan Dari-Mu

Ya Rahman..
Dunia Yang Engkau Bentangkan Begitu Luas
Bagai Belantara Yang Tak Dapat Ku tembus Di Malam Yang Gelap Gelita
Agar Tidak Tersesat Dalam Menjejakinya

Ya Rahim..
Berikan Alas Kaki Buat Hamba Agar Jalan Yang Ku lalui Terasa Nikmat
Meski Penuh Dengan Bebatuan Runcing & Duri Yang Tajam
Aku Sedar  Semua Ini Milikmu
Dan Suatu Saat Jika Kau Kehendaki
Semuanya Akan Kembali Jua Kepada-Mu

Thursday, 21 July 2011

Ku Ingin Menjadi Seorang Hamba-Nya yang Bersyukur...


Happy Face by yuniarko1 Aku Ingin Menjadi Seorang HambaNya Yang Bersyukur
Orang Islam itu tidak ajaib. Tetapi, orang beriman diiktiraf sebagai menakjubkan. Kenapakah orang beriman mencapai tahap yang menakjubkan?
Hal ini kerana mereka mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia berSYUKUR. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.
Dipagi aman dan damai ini, saya teringat sebuah kisah Rasulullah tentang erti syukur.

BAGINDA Rasulullah s.a.w akan menampal sendiri pakaiannya yang koyak tanpa perlu menyuruh isterinya, malah Baginda juga memerah sendiri susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk di jual.
Setiap kali Baginda balik ke rumah dan dilihatnya tiada makanan yang siap untuk dimakan, Baginda tersenyum sambil menyinsing lengan baju bagi membantu isterinya di dapur. Sayidatina Aisyah pernah menceritakan bahawa baginda selalu membantu urusan rumahtangga.
Jika mendengar azan, Baginda akan cepat-cepat berangkat ke masjid dan segera pulang selepas bersembahyang.
Pernah pada suatu pagi Baginda pulang ke rumah dengar lapar sekali. Tetapi dilihatnya tiada makanan untuk dibuat sarapan. Makanan yang mentah pun belum ada kerana Sayidatina Aisyah belum lagi ke pasar.
Lalu Baginda bertanya “belum ada sarapan Ya Khumaira?”. Khumaira adalah panggilan manja untuk Sayidatina Aisyah yang bermaksud wahai yang kemerah-merahan. Sayidatina Aisyah menjawab dengan serba salah “belum ada apa-apa Ya Rasulullah”.
Mendengar jawapan Sayidatina Aisyah, Baginda pun berkata “jika begitu aku berpuasa hari ini” tanpa sedikitpun tergambar perasaan kesal di wajah Baginda.
Sebaliknya Baginda sangat marah sekiranya melihat seorang suami mengkasari isterinya. Pernah diceritakan pada suatu hari Baginda melihat seorang suami memukul isterinya.
Baginda lalu bertanya “mengapa engkau memukul isterimu?”.
Soalan itu di jawab oleh si suami dengan gementar “isteriku seorang yang keras kepala, walaupun telah di berikan nasihat tetapi dia masih berdegil, jadi aku pukul dia”.
Sahut Baginda “Aku tidak bertanya alasanmu tetapi menanyakan kenapa engkau sanggup memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu”.
Pernah Baginda bersabda “sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya”.
Sebenarnya sikap Baginda yang prihatin, sabar dan tawadhuk di dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.
.
Pernah pada suatu ketika, Baginda mengimamkan solat, dilihat oleh para sahabat pergerakan Baginda dari satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Malah mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-seolah bunyi sendi Baginda Rasulullah sedang bergesel diantara satu sama lain.
Setelah selesai sembahyang, Sayidina Umar yang tidak tahan melihat Baginda lalu bertanya “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan hamba sedang menanggung penderitaan yang amat berat, adakah tuan hamba sedang sakit?”.
Lalu baginda menjawab “tidak Umar, Alhamdulillah aku sihat dan segar”.
Umar yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut terus bertanya “kalau tuan hamba sihat, kenapa setiap kali menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi tuan hamba sedang bergeselan”.
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terperanjat. Perut Baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang mengandungi batu-batu kerikil bagi menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menerbitkan bunyi setiap kali Baginda menggerakkan tubuhnya.
Para sahabat yang tadinya terperanjat terus bertanya “Ya Rasulullah, adakah tuan hamba fikir bila menyatakan lapar dan tiada makanan, maka kami tidak akan membawanya”.
Lalu baginda menjawab dengan lembut “tidak para sahabatku, aku tahu apapun akan kamu korbankan dengan seorang Rasulmu, tetapi apakah yang akan aku jawab di hadapan Allah nanti kerana aku sebagai seorang pemimpin menjadi beban kepada umatnya”.
Baginda menambah “biarlah kelaparan ini menjadi hadiah Allah buatku agar umatku kelak tiada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat kelak”.
.
Sebab itulah Baginda tidak pernah merasa malu walaupun makan di sebelah seorang tua yang miskin, kotor dan dipenuhi dengan kudis.
Kecintaannya yang tinggi terhadap Allah dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri baginda menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari Allah langsung tidak dijadikan alasan untuk merasa lebih daripada orang lain di depan orang ramai mahupun ketika bersendirian.
Walaupun pintu syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk Baginda tetapi Baginda masih lagi berdiri di malam-malam sepi untuk terus beribadah kepada Allah. Pernah Baginda terjatuh kerana kaki-kakinya bengkak oleh sebab terlalu lama berdiri. Fizikalnya sudah tidak mampu lagi menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.
Apabila ditanya oleh Sayidatina Aisyah “Ya Rasulullah, bukankah tuan hamba telah di jamin syurga. Mengapa tuan hamba masih bersusah payah sebegini?”.
Baginda menjawab dengan tenang “Ya Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba. Sesungguhnya aku ingin menjadi seorang hambaNya yang bersyukur.”
*Terharu dengan sifat Rasullah yang sangat bersyukur icon smile Aku Ingin Menjadi Seorang HambaNya Yang Bersyukur


Sumber: Aku Ingin Menjadi Seorang HambaNya Yang Bersyukur | Aku ISLAM http://akuislam.com/blog/kisah-tauladan/aku-ingin-menjadi-seorang-hambanya-yang-bersyukur/#ixzz1SjQhoUzL

Saturday, 16 July 2011

Bersabarlah Demi Redha-Nya...

Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadang kala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.

Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah sedang menduga. Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.

Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadang membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadang kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis olehNya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuanNya? Kadang kala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapanNya.

'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '

Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?

Subhanallah. Maha suci Allah... !
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna.. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayatNya.

Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.


Ya Allah... kenapa semua ini terjadi padaku?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 216)

Ya Allah.. kenapa terlalu berat ujian ini?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)

Ya Allah.... terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)

"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 12)

Ya Allah... bagaimana harus kuhadapi semua ini?

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Al-Baqarah : 45)

Ya Allah... apa yang akan kudapat daripada semua ini?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..(At-Taubah : 111)

Ya Allah.... kepada siapa harus ku berharap?

"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah : 129)

Ya Allah...berimankah aku?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta? (Al-Ankabut : 2-3)

Renungi dan redhalah terhadap ketentuan Allah. Pasti tersingkap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian-Nya. Bersabarlah duhai hati. Moga kita menjadi hamba yang Redha dan diredhai-Nya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...